Bicara MyKhilafah
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.
Bicara MyKhilafah

Politics Islam
 
IndeksIndeks  PencarianPencarian  Latest imagesLatest images  PendaftaranPendaftaran  Login  

 

 keratan akhbar pilihan

Go down 
PengirimMessage
Tengku joe




Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

keratan akhbar pilihan Empty
PostSubyek: keratan akhbar pilihan   keratan akhbar pilihan Icon_minitimeSat Feb 02, 2008 11:04 am

Desakan hidup warga KL

Oleh: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
02.02.08

WARGA Kuala Lumpur perlu kekuatan mengharungi cabaran hidup di kota besar.

PASTINYA belum terlambat untuk mengucapkan selamat Hari Wilayah kepada warga Wilayah Persekutuan baik di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan yang menyambutnya semalam.

Seperti sambutan lainnya, sambutan Hari Wilayah tidak kurang menariknya dengan pelbagai acara yang penuh berwarna-warni.

Namun, dalam kemeriahan sambutan yang seharusnya bertujuan untuk menghargai sumbangan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam mengukir lambang kepada kejayaan negara, timbul keraguan adakah perasaan yang sama turut dirasai oleh warga mereka keseluruhannya?

Bukanlah sesuatu yang menghairankan untuk mengandaikan bahawa cuti umum Hari Wilayah semalam bagi kebanyakan warganya tidak banyak bezanya dengan cuti-cuti umum yang lain.

Lebih manis apabila cuti umum Hari Wilayah kali ini jatuh pada hari Jumaat sekali gus menjadikan cuti hujung minggu lebih panjang dan mudah pula untuk mengatur aktiviti lainnya.

Tidak ramai yang begitu teruja untuk meluaskan pemandangan dan melihat cuti umum Hari Wilayah dalam erti kata yang lebih besar.

Sambutan seperti itu pastinya tidak membawa sebarang makna kerana sejarah yang tercatat adalah sesuatu yang tidak mungkin akan berubah, biarpun sehebat mana sambutan diadakan untuk meraikannya.

Apa yang diharapkan daripada sambutan Hari Wilayah adalah bagaimana warganya memainkan peranan masing-masing dalam mencorakkan Wilayah Persekutuan untuk tahun-tahun mendatang.

Mengambil contoh Kuala Lumpur misalnya, kesesakan lalu lintas, kebanjiran warga asing, banjir kilat, penempatan setinggan, lubuk gejala sosial dan banyak lagi isu lain bukan lagi imej-imej asing yang melatari ibu negara ini.

Ibaratnya permasalahan ini lebih difahami oleh mereka yang tidak pernah pun menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, bayangkan pula hakikat sebenar yang perlu dihadapi oleh warganya.

Membincangkan perkara ini juga bagaikan tiada kesudahan, yang kedengaran hanyalah keluh-kesah warga kota yang sudah bosan berdepan dengan isu yang tidak menampakkan bayang bilakah akan berpenghujung.

Memang tidak adil untuk menyenaraikan segala macam kekurangan Kuala Lumpur ketika namanya terukir gah di persada antarabangsa dengan pelbagai mercu kebanggaan seperti Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan banyak lagi.

Namun berbaloikah pengiktirafan itu kepada warga yang mendiaminya sekiranya mereka terpaksa bergelut dengan pelbagai permasalahan hidup yang agak membebankan?

Berbanggakah kita dipayungi oleh bangunan-bangunan yang tingginya mencakar langit, dalam ketika yang sama nilai-nilai moral dalam kehidupan bermasyarakat semakin menyembah bumi?

Hakikat kepada sejarah gemilang yang dicatatkan oleh nadi negara yang bernama Malaysia ini memang diakui sangat besar, namun sisi buruknya juga yang menjadi kenangan dan sebutan.

Imej-imej jelik Kuala Lumpur lebih banyak terlintas dalam fikiran, berbanding jasa dan pengorbanan kota yang bermula dengan lembah bijih timah yang kemudiannya diangkat sebagai sebuah bandar raya kira-kira 34 tahun lalu.

Berhijrah

Mengambil contoh mudah, carilah identiti ibu negara ini di kalangan orang luar bandar, pastinya akan menemukan satu bayangan yang agak mengerikan.

Tanyalah ibu bapa di kampung-kampung seperti di Kelantan atau Kedah, tiada siapa yang dengan rela hati mengizinkan anak mereka berhijrah ke Kuala Lumpur jika tidak kerana alasan yang munasabah, jauh sekali untuk sekadar mencuba nasib mencari sesuap rezeki.

Dalam kotak fikiran mereka, cabaran dan dugaan hidup di Kuala Lumpur terlalu tinggi dan sangat menyesakkan.

Benarlah, kota yang di dalamnya tersimpan 1,001 cerita ini bukanlah lautan yang boleh diduga dengan kail yang panjangnya cuma sejengkal.

Silap percaturan maruah boleh tergadai, hidup menjadi tidak keruan dan tidak mustahil harapan yang pada mulanya diletakkan menggunung berakhir dengan satu tragedi.

Sayangnya itu semua berpunca daripada sikap warga kota sendiri. Isu-isu berkait moral, cara hidup, tekanan dan banyak lagi unsur negatif dalam masyarakat dicipta oleh penghuni yang mendiami Kuala Lumpur.

Kita boleh memilih untuk meladeni kehidupan dengan penuh harmoni, tenang dan selamat untuk bebas bergerak ke mana sahaja di Kuala Lumpur ini.

Sayangnya kebebasan itu terhalang oleh kewujudan kumpulan manusia yang tidak bertanggungjawab, mengganggu-gugat keharmonian dengan melakukan kejahatan dan kemusnahan.

Paling membimbangkan apabila kejadian-kejadian berunsur kerosakan sama ada kepada Kuala Lumpur atau lebih dahsyat kepada masyarakat ini mencatatkan peningkatan dengan angka-angka yang sangat membimbangkan.

Sekadar perbandingan untuk renungan bersama, indeks jenayah Kuala Lumpur membabitkan kes samun, penagihan dadah, perjudian dan gejala sosial pernah mencatatkan peningkatan sehingga 40 peratus dalam masa hanya tiga bulan pertama tahun lalu.

Menyentuh mengenai kemelut nilai dalam norma-norma masyarakat ini, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, ia tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan desakan hidup yang sangat tinggi di Kuala Lumpur yang kemudiannya membawa kepada tekanan.

Tekanan ini pula wujud dalam banyak cabang kehidupan sama ada berbentuk peribadi, hubungan kekeluargaan dan masyarakat yang jika tidak diuruskan dengan bijak mendorong pula kepada satu tindakan jalan keluar yang salah.

“Malangnya, warga Kuala Lumpur tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengelak daripada tekanan tersebut melainkan terpaksa menghadapinya dengan kemungkinan tergelincir atau semakin menjauh daripada nilai-nilai hidup bermasyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Unsur-unsur sebeginilah yang semakin melakar imej Kuala Lumpur ketika ini sekali gus semakin menghakis simbol pembangunan dan kemajuan yang seharusnya dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Namun membiarkan warga Kuala Lumpur untuk terus larut dalam tanggapan sedemikian pastinya sesuatu yang tidak adil.

Kita sebagai warga kota lebih-lebih lagi anak perantau, seharusnya berterima kasih di atas segala nikmat yang tumbuh melata di bumi yang sangat bertuah ini.

Perasaan itu pastinya tidak memadai sekadar melafazkannya semata-mata, sebaliknya perlu bersama-sama membersihkan imej ibu negara dengan satu bentuk tindakan dan peranan yang lebih besar.

Bermulalah dengan sikap mengambil peduli dengan apa yang ada di sekeliling kita, dengan menyedari bahawa kita tidak hidup bersendirian di bumi Kuala Lumpur yang sangat indah ini.

Seperti kata Mariani lagi, kehidupan di kota memerlukan satu bentuk pengorbanan yang sangat tinggi oleh penghuninya, bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tetapi perlu juga mengambil kira setiap anggota lapisan masyarakat yang lainnya.

Barangkali sikap menjaga tepi kain orang di Kuala Lumpur hari ini sudah boleh diterima, jika dengan cara itu sahaja dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah sosial yang tidak lagi tertanggung oleh ibu kota ini.
Kembali Ke Atas Go down
Tengku joe




Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

keratan akhbar pilihan Empty
PostSubyek: temuramah pas   keratan akhbar pilihan Icon_minitimeWed Feb 13, 2008 12:46 pm

Tumpu Kelantan, Terengganu

ABDUL HADI AWANG.

MUKADIMAH
DARI jendela kaca bilik rasmi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, jelas kelihatan Menara Datuk Onn, iaitu bangunan rasmi yang menempatkan parti terbesar orang Melayu, UMNO.

Kedua-dua bangunan itu jika dilihat dari satu sudut boleh disifatkan sebagai lambang pergerakan politik orang Melayu di negara ini – namun masing-masing menggunakan pendekatan yang berbeza.

Abdul Hadi semasa pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia menyentuh mengenai perjuangan parti itu yang menurut beliau bertunjangkan matlamat penubuhan negara Islam dan demi kepentingan umat Islam.

Beliau secara panjang lebar menjelaskan kesungguhan parti itu untuk mencapai matlamat tersebut menerusi pilihan raya umum ke-12 ini.

Malah, Abdul Hadi berkongsi keyakinan Pas akan menang sekurang-kurangnya di Terengganu dan Kedah selain mengukuhkan kedudukannya di Kelantan dengan Mursyidul Am Pas kekal sebagai Menteri Besar di situ.

Kepada wartawan NORAINI ABD. RAZAK, BORHAN ABU SAMAH, SAIFULIZAM MOHAMAD dan jurugambar, HAYAT SUEET, bekas Menteri Besar Terengganu itu turut mengulangi hasrat Pas untuk menubuhkan ‘negara kebajikan’ dan melaksanakan undang-undang jenayah Islam jika berpeluang memerintah kelak.

UTUSAN: Mengapa Pas membuat keputusan bertanding di 60 kerusi Parlimen sahaja?

HADI: Buat masa ini kita memutuskan untuk bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen dan lebih 200 Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya tidak boleh beri angka secara spesifik kerana mungkin ada tambahan di saat akhir.

Adakah hanya dengan bertanding di 60 kerusi Parlimen meyakinkan Pas untuk membentuk kerajaan yang bakal melaksanakan ‘negara kebajikan’?

Pertamanya, kita tumpukan kepada negeri-negeri yang Pas pimpin dan pernah pimpin iaitu di Kelantan dan Terengganu.

Kita sudah laksanakan program negeri kebajikan biarpun sebahagian besarnya daripada usaha tersebut mendapat ‘kepungan’ Kerajaan Pusat.

Namun kita berjaya juga melaksanakan program Armalah iaitu memberi bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim, golongan miskin. Kita juga menghapuskan cukai pintu dan hanya melaksanakannya di ruang komersial sahaja.

Di peringkat pusat pula, kita telah mendapat maklum balas yang menggalakkan mengenai penubuhan negara kebajikan. Malah konsep seumpama itu telah dilaksanakan di zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi.

Di Barat, konsep seumpama itu mula dilaksanakan di England di mana bantuan kewangan secara percuma diberi kepada warga tua, kanak-kanak dan golongan yang memerlukan.

Itu adalah konsep negara kebajikan yang diambil daripada Islam. Cadangan ini diterima oleh Barisan Alternatif dan saya yakin parti-parti pembangkang lain juga akan bersetuju.

Sekiranya Pas dan Keadilan diberi kepercayaan untuk mengambil alih kepimpinan orang Melayu, saya percaya akan berlaku perubahan anjakan paradigma di kalangan parti-parti bukan Melayu ke arah menubuhkan kerajaan yang lain bentuknya.

Kenapa Pas tidak bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen?

Ini kerana kita mahu kerjasama. Kita mahu perubahan yang dilakukan secara bersama bukan perubahan yang disebabkan oleh tekanan di pihak Pas sahaja. Bahkan bagi perubahan ke arah Islam pun, kita mahu ia berlaku secara demokratik, supaya rakyat faham Islam dahulu.

Datuk Seri yakin Pas akan menang di 60 kerusi itu?

Kalau dapat 40 kerusi pun cukup. Macam Husam (Musa) kata, kalau boleh kita menang 40 kerusi. Jadi sekarang ini kita berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40 kerusi.

Yang lain-lain, rakan-rakan kita dari parti lain juga akan mengusahakannya. Kalau PKR dapat 40 atau lebih daripada itu, sudah tentu kita boleh buat perubahan.

Bagaimana jangkaan persaingan pada pilihan raya kali ini?

Persaingan berlaku kerana amalan-amalan tidak demokratik. Ia juga disebabkan oleh undang-undang pilihan raya disempitkan.

Kita lihat semasa pilihan raya umum 2004, peratus keluar mengundi amat besar. Di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kira-kira 90 peratus keluar mengundi. Catatan itu mengatasi negara-negara maju.

Seperkara lagi, SPR buat undang-undang yang menyusahkan kita membuat bantahan. Ini termasuklah seperti jika ingin membuat bantahan kita kena bayar, deposit untuk bertanding juga dinaikkan.

Bagaimana Datuk Seri melihat peluang Barisan Alternatif di Kelantan dan Terengganu?

Kalau Tuhan izinkan, kita akan menang di Kelantan dan Terengganu tetapi kita kena kerja lebih untuk melawan BN. Orang Islam mesti yakin tidak ada kerajaan yang kekal, perubahan mesti berlaku.

Kerjasama di antara Pas dan Keadilan nampak elok jika dilihat secara luaran, sedangkan di sebaliknya masih ada perselisihan terutama dalam soal meletakkan calon. Bagaimana status kerjasama Barisan Alternatif sekarang ini?

Undang-undang di negara kita tidak boleh mengizinkan Barisan Alternatif tubuh satu pakatan di atas nama parti politik. Undang-undang pertubuhan di negara kita masih tidak mencukupi.

Jika undang-undang memudahkan proses ini, kita boleh bergabung untuk tubuh satu barisan parti.

Walaupun kita berbeza parti, tetapi kerjasama antara Pas dan Keadilan lebih baik berbanding UMNO sendiri. Bahkan ada bahagian UMNO yang tidak boleh menyelesaikan masalah calon.

Misalnya ada Menteri Besar di negeri tertentu yang tidak bersetuju sesama mereka dalam soal meletakkan calon.

Itu menunjukkan kerjasama kita adalah jauh lebih baik daripada UMNO sendiri.

Biarpun undang-undang tidak membenarkan kita menjadi satu parti, tetapi dalam kempen, kita sama-sama mengibarkan bendera Pas dan Keadilan di mana-mana juga kawasan yang ditandingi.
Kembali Ke Atas Go down
Tengku joe




Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

keratan akhbar pilihan Empty
PostSubyek: Re: keratan akhbar pilihan   keratan akhbar pilihan Icon_minitimeWed Feb 13, 2008 12:47 pm

Adakah tidak timbul langsung perebutan kerusi atau soal pertindihan calon di kerusi yang sama?

Tidak timbul soal perebutan kerusi. Paling penting ialah untuk menentukan calon yang boleh menjamin kemenangan, tidak kira sama ada dia calon Pas atau Keadilan (Parti Keadilan Rakyat).

Lebih penting kita utamakan kemenangan daripada menentukan pembahagian siapa yang bertanding.

Sebab itu rundingan dibuat dengan menjalankan kajian terperinci di peringkat akar umbi melalui cawangan.

Jentera parti membuat kajian mengenai tokoh yang boleh memberi kemenangan kepada kita dengan adanya kerjasama antara Pas dan Keadilan. Kalau ada masalah, baru kita rujuk kepada Majlis Tertinggi parti.

Bagaimana pula kerjasama Pas dengan DAP?

Pas tidak ada kerjasama dengan DAP. Untuk menyelaraskan calon-calon dan kerusi yang dipertandingkan, ada kerjasama antara Keadilan dan DAP. Pas tidak bertanding di kawasan DAP. Keadilan yang akan bertanding di kawasan bukan Melayu.

Kenapa Pas masih enggan bekerjasama dengan DAP?

Halangannya ialah media. Media membawa arus yang kuat memisahkan parti-parti politik dengan menonjolkan isu agama dan perkauman sehingga berlakunya pertembungan dalam politik.

Dan perkara ini sering kali dilakukan menjelang pilihan raya, kadang-kadang menimbulkan salah faham terhadap Islam di kalangan orang bukan Islam.

Di pihak Pas sendiri kita ingin menggambarkan bahawa Islam itu adil mengikut al-Quran dan sunah.

Bagaimana Pas dapat menunjukkan sikap terbuka sedangkan untuk bekerjasama dengan DAP pun tidak boleh?

Kita memang terbuka dan ini terbukti menerusi pemerintahan di Kelantan di mana Pas diterima oleh masyarakat bukan Islam kerana layanan yang adil kepada semua kaum dalam semua aspek termasuk kebebasan beragama dan mengamalkan budaya masing-masing.

Bukankah kerenggangan hubungan itu disebabkan oleh misi perjuangan antara Pas dan DAP yang berbeza?

Soal perjuangan berbeza tidak menjadi masalah. Dunia pun boleh menubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai oleh pelbagai ideologi. Itu peringkat antarabangsa. Di peringkat nasional juga tidak akan ada masalah.

Kita boleh mengadakan persefahaman dalam banyak benda lain seperti menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menuntut pilihan raya yang adil. Cuma dalam pilihan raya, kita tidak boleh bekerjasama berdasarkan realiti bahawa Pas tidak akan bertanding di kawasan DAP atau mewujudkan kerjasama.

Bagaimana pula jika Barisan Alternatif berpeluang memerintah? Adakah masih enggan bekerjasama dengan DAP?

Jika berpeluang memerintah akan berlaku senario politik yang berbeza. Ketika itu kita mungkin bekerjasama dengan DAP.

Perkembangan semasa menunjukkan Mohamad Sabu akan bertanding di Kuala Terengganu, bagaimana penerimaan pengundi di Terengganu?

Datuk Onn Jaafar pernah bertanding di Kuala Terengganu begitu juga dengan Dr. Burhanuddin Helmy dicalonkan di Besut pada tahun 1959, manakala Hassan Adli di Kuala Nerus.

Pas bersikap terbuka kerana membelakangkan semangat kedaerahan dan memberi keutamaan kepada agenda membawa perubahan. Lebih penting lagi bukan sekadar menghantar wakil ke Parlimen tetapi membawa mesej kita untuk didengar oleh semua.

Ikut tradisi, Datuk Seri bertanding di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Adakah tradisi itu diteruskan?

Saya ikut keputusan parti, di mana sahaja termasuk di Kepala Batas. Tetapi Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan saya bertanding di Terengganu.

Saya minta mengundur diri sebab saya sudah bertanding di peringkat DUN sejak tahun 1982.

Saya mahu memberi ruang kepada perubahan di Terengganu termasuk mencalonkan 50 peratus muka baru. Tetapi desakan akar umbi masih kuat mendesak saya bertanding DUN dan Parlimen.

Bagaimana reaksi penyokong-penyokong Pas apabila Datuk Seri dicalonkan semula?

Pencalonan itu pun disebabkan oleh desakan mereka dan hasil kajian bebas jentera pilihan raya yang dijalankan di peringkat akar umbi.

Adakah ini penggal pilihan raya yang terakhir untuk Datuk Seri bertanding?

Kita melihat kepada keadaan. Tetapi saya yakin saya mendapat sokongan bukan sahaja di kalangan orang Pas malah orang UMNO, pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu.

Pilihan raya 2004 saya kalah dengan 120 undi, undi rosak 800, undi pos lebih kurang 300. Ia menunjukkan saya masih mendapat kepercayaan di kalangan penduduk Marang biarpun berlaku perubahan pada jumlah undi.

Adakah Datuk Seri yakin akan menang pada pilihan raya kali ini?

Saya tidak akan menang dan kalah. Saya menerima pencalonan daripada kawasan, negeri dan pusat.

Apakah manifesto Barisan Alternatif?

Kita sediakan Tawaran Barisan Alternatif Kepada Rakyat. Kita tidak guna perkataan manifesto, sebaliknya istilah tawaran kerana ia lebih ringan dan mudah difahami oleh rakyat.

Antara agenda penting yang kita tawarkan ialah negara kebajikan. Kita berjanji akan menurunkan harga minyak, menyediakan rawatan perubatan secara percuma, memberi pendidikan asas juga percuma dan beberapa perkara lain yang kita yakin boleh laksanakan jika memerintah kelak.

Bagaimana penerimaan rakyat dalam siri jelajah Barisan Alternatif ke seluruh negara?

Kita dapat sokongan berlipat kali ganda biarpun terpaksa berhadapan dengan beberapa halangan. Kita menukar cara daripada berceramah biasa kepada dialog yang disertai oleh golongan yang inginkan perubahan.

Adakah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam juga akan menjadi tawaran Barisan Alternatif?

Undang-undang jenayah Islam akan dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Barisan Alternatif termasuk di Kedah atau Selangor jika kita berjaya di situ.

Bagaimanapun undang-undang ini akan diperkenalkan kepada orang Islam sahaja, manakala bagi masyarakat bukan Islam terpulang kepada mereka untuk menerima pakai undang-undang tersebut atau mengguna pakai undang-undang lain.

Bagaimana Datuk Seri melihat peluang Barisan Alternatif di Kedah, Perlis juga negeri-negeri yang didominasi oleh BN?

Di Kedah, kita mendapat lebih 50 peratus undi daripada orang Melayu. Bahkan undi Melayu di Kedah kepada Pas lebih besar dari di Kelantan dan Terengganu.

Di Kedah masalah kita ialah undi bukan Melayu. Dengan lima peratus sahaja perubahan pengundi bukan Islam, kita percaya kita boleh tawan Kedah.

Undi bukan Melayu jadi penentu. Oleh itu jika berlaku anjakan paradigma di kalangan pengundi bukan Melayu dan pilihan raya dijalankan secara demokratik, insya-Allah kita akan menawan Kedah. PKR juga akan dapat menawan beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Sabah.

Ini keyakinan saya. Saya juga yakin kita akan menambah kemenangan di negeri-negeri seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menerusi kerja keras ahli-ahli parti di setiap kawasan yang kita akan bertanding.

Kita juga akan menambah jumlah calon Muslimat sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN.

Apa kriteria-kriteria calon Pas?

Soal calon diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Setiap calon mesti memenuhi syarat agama, akhlak, ilmu, dihormati oleh masyarakat dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.

Tapi tidak mungkin kita dapat semua, oleh itu kita utamakan syarat agama, ilmu dan akhlak. Kita mendapat laporan latar belakang calon daripada peringkat akar umbi. Pernah seorang ahli Parlimen Pas yang dipecat kerana melakukan amalan tidak bermoral iaitu menyertai majlis tari-menari.

Apa sebenarnya kelemahan yang menyebabkan Pas tewas dalam pilihan raya?

Kelemahan paling ketara ialah ada kalangan kita yang hanya bekerja apabila diumumkan pilihan raya.

Sesuatu kawasan yang Pas boleh bertahan ialah di mana jawatankuasanya bekerja dari awal tanpa mempedulikan bila tarikh pilihan raya.

Dan jika berlaku pilihan raya kecil, tidak akan timbul masalah kerana persediaan sentiasa dibuat. Tetapi kawasan yang tidak mempunyai persediaan, apabila diumumkan pilihan raya, baru mula kerja maka kerja yang dibuat hanyalah tampal poster.

Bagaimana kedudukan Pas di Kelantan?

Kedudukan Pas di Kelantan makin kukuh berdasarkan prestasi kerajaan yang semakin hari semakin baik.

Di Kelantan kita juga menonjolkan muka baru dalam pencalonan. Tokoh lama yang telah uzur akan berundur.

Adakah kekuatan Pas di Kelantan amat bergantung kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Tok Guru satu faktor penting bagi Pas Kelantan. Bagaimanapun Pas tidak bergantung kepada pemimpin semata-mata sebaliknya ideologi dan perjuangan parti lebih penting.

Dulu orang kata Pas kuat sebab Datuk Asri Muda. Ada yang kata kalau tak ada Datuk Asri, ranaplah Pas. Tetapi jelas kita tidak bergantung kepada tokoh, apabila Datuk Asri keluar, Pas semakin kuat.

Jadi, Nik Aziz masih menjadi simbol kekuatan parti?

Ya, Tok Guru simbol kekuatan Pas dari segi kewibawaan, kepemimpinan sederhana dan dihormati bukan sahaja di Kelantan, malah seluruh negara.

Beliau juga simbol kekuatan Pas yang bersih daripada rasuah dan tidak ada ruangan untuk mempertikaikan kewibawaan beliau.

(utusan 12feb 08)
Kembali Ke Atas Go down
Tengku joe




Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

keratan akhbar pilihan Empty
PostSubyek: Re: keratan akhbar pilihan   keratan akhbar pilihan Icon_minitimeWed Feb 13, 2008 1:47 pm

Makin ramai penduduk dunia tidak mampu beli makanan

NEW YORK 12 Feb. - Ramai penduduk miskin dunia tidak mampu membeli makanan disebabkan kenaikan harga, kekurangan bekalan, kenaikan harga minyak dan penggunaan hasil tanaman yang meningkat bagi menghasilkan biofuel, kata Ketua Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran.

"Kita kini menyaksikan semakin ramai orang kelaparan, dan bilangannya lebih ramai berbanding sebelum ini," katanya dalam satu temu bual dengan The Associated Press (AP), semalam.

WFP ketika ini sedang menjalankan penilaian ke atas 30 buah negara yang teruk dilanda krisis bekalan makanan.

Malah, ia turut meramalkan negara-negara Afrika Barat bakal berdepan krisis kekurangan hasil tanaman berikutan banjir besar yang telah melanda rantau itu baru-baru ini sehingga menjejaskan pendapatan para petani.

Menurut Sheeran, cuaca buruk yang melanda banyak negara, menjadikan keadaan lebih ketara apabila harga makanan terus meningkat sehingga menjejaskan ramai penduduk miskin.

Selain itu katanya, kenaikan harga minyak turut menaikkan lagi harga makanan, kerana bahan bakar itu digunakan dalam kebanyakan rantaian pengeluaran makanan-merangkumi penanaman, membaja dan pengedaran.

"Fakta menunjukkan bahawa harga makanan turut berdasarkan kepada harga minyak. Misalnya, minyak sawit di Afrika yang digunakan untuk biofuel, kini dipasarkan pada harga petrol menyebabkan ramai tidak mampu membelinya.

"Bagi kebanyakan negara yang terjejas, tindakan segera perlu diambil untuk menangani (kekurangan bekalan makanan)," kata Sheeran.

Menurut Sheeran lagi, antara langkah yang boleh diambil bagi membantu negara terbabit ialah membekalkan bahan makanan dan mengawal pasarannya.

Mengenai krisis bekalan makanan di negara yang dilanda cuaca buruk pula, beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu memastikan keperluan asas penduduk di negara terbabit tidak terjejas.

- AP
Kembali Ke Atas Go down
Sponsored content





keratan akhbar pilihan Empty
PostSubyek: Re: keratan akhbar pilihan   keratan akhbar pilihan Icon_minitime

Kembali Ke Atas Go down
 
keratan akhbar pilihan
Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
Bicara MyKhilafah :: Aktiviti Dakwah dan berkaitan-
Navigasi: