Bicara MyKhilafah

Politics Islam
 
IndeksIndeks  FAQFAQ  PencarianPencarian  PendaftaranPendaftaran  AnggotaAnggota  GroupGroup  Login  

Share | 
 

 Masyarakat Jahiliyyah di Malaysia

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
Tengku joe



Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

PostSubyek: Masyarakat Jahiliyyah di Malaysia   Sun Jul 01, 2007 10:46 pm

MASYARAKAT JAHILIYYAH DI MALAYSIA



Saban hari masyarakat Malaysia disajikan dengan pelbagai berita jenayah yang serius dan mengerikan. Jenayah rogol dan pembunuhan hampir setiap malam ke udara di berita-berita perdana. Indeks Jenayah dari bulan Januari hingga Mac 2006 (suku tahun pertama) mencatatkan 56,116 kes. Statistik ini merupakan pecahan untuk indeks jenayah kekerasan sebanyak 12,210 kes, jenayah harta benda sebanyak 36,960 kes, jenayah komersial sebanyak 1,731 kes dan jenayah narkotik sebanyak 5,215 kes . Punca peningkatan kadar jenayah sering dikaitkan dengan pengambilan dadah. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 2,935 penagih atas (Amphetamine Type Stimulant) ditahan di pusat hiburan seluruh negara, meningkat hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini juga, seramai 5,516 penagih pil psikotropik ditahan, berbanding 5,766 sepanjang tahun 2005; 4,188 (2004); 1,465 (2003) dan 369 (2002). Sejak Januari hingga Jun lalu, 4,814 penagih baru pula dikesan dan 6,135 lagi membabitkan kes berulang (BH 9/8/2006). Ini hanyalah sedikit dari kengerian angka yang panjang berjela yang boleh diperolehi dari PDRM.



Sebenarnya kedudukan masyarakat kita pada hari ini saling tak tumpah dengan masyarakat Jahiliyyah di masa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Undang-undang kufur hasil peninggalan penjajah yang diterapkan hari ini, selain terbukti gagal untuk melahirkan masyarakat yang luhur, sebenarnya adalah punca kepada segala masalah. Jika kita menelusuri sirah, tatkala baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam diutus, masyarakat saat itu berada dalam keadaan porak-poranda. Membunuh anak perempuan hidup-hidup sudah menjadi tradisi, pelacuran ada di mana-mana, perempuan di hina dan hanya merupakan ‘alat’ untuk memuaskan seks, pergaduhan dan peperangan sering terjadi hanya kerana hal yang remeh-temeh, assabiyyah (bangsa/perkauman) dan wathaniyyah (patriotisme) merupakan suatu kebanggaan dan
sanggup dijaga dengan darah, sistem ekonomi yang menipu timbangan berleluasa dan pelbagai lagi kerosakan-kerosakan lainnya menjadi norma kehidupan ketika itu. Pada hari ini, kita menyaksikan perkara yang sama berlaku di Malaysia dan juga negara-negara umat Islam yang lain. Kes pengguguran dan pembuangan bayi (sama ada hidup atau mati) sudah menjadi ‘tradisi’, pelacuran dan perzinaan bermaharajalela, pembunuhan berlaku di mana-mana, assabiyyah dan wathaniyyah yang jelas-jelas haram dijadikan agenda perjuangan oleh banyak golongan, termasuklah para pemerintah. Inilah hakikat masyarakat kita sekarang, hukum Jahiliyyah dipegang, hukum Islam dibuang.



Setelah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam diutus, baginda berjuang bermati-matian untuk merubah keadaan masyarakat yang sebegitu parah dengan membawa cahaya
petunjuk kepada mereka, menukar keadaan mereka yang penuh kegelapan dengan nur dari Rabbul Izzati, menggantikan sistem yang penuh kerosakan dengan sistem yang datang dari Ilahi. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berjaya menyembuhkan semua penyakit masyarakat dengan satu ‘ubat’ yang sempurna. Dengan ubat tersebut, baginda telah berjaya menukarkan masyarakat Jahiliyyah kepada satu peradaban rabbani yang tidak ada tolok bandingnya. Masyarakat yang asalnya bodoh (jahil) telah berjaya diubah oleh Rasulullah menjadi masyarakat yang memimpin dan menerajui dunia.



Nilai-nilai Luhur Memelihara Keharmonian Masyarakat



Sarjana Islam seperti Al-Ghazali telah mengulas dengan panjang lebar tentang maslahat yang terkandung dalam penerapan hukum Islam secara umum (Maqasid Syariah). Beliau menggariskan ada lima maslahat yang dijaga oleh Islam iaitu nyawa, akal, agama, harta dan kehormatan. Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani pula menjelaskan bahawa nilai-nilai luhur untuk memelihara masyarakat (Ihdaf al-‘ulya li shiyanah al-Mujtama’) mesti berasaskan perintah dan larangan Allah, bukannya ditentukan oleh manusia. Aturan ini sentiasa tetap keadaannya dan tidak akan berubah. Pemeliharaan terhadap keturunan manusia (nasab), akal, maruah manusia, nyawa, harta milik peribadi, agama, keamanan dan negara, merupakan objektif luhur untuk menjaga masyarakat (Nizam Al-Islam, masa 31).



Perlaksanaan pemeliharaan tujuan-tujuan ini hukumnya adalah wajib kerana ia merupakan perintah-perintah dan larangan-larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, perbincangan tentang perkara ini bukan dibuat berdasarkan maslahat yang ada atau yang ingin dicapai, tetapi perkara ini wajib difahami untuk diterapkan di dalam kehidupan. Pemerintah yang lalai dan menyebabkan kerosakan masyarakat kerana tidak menerapkan perkara ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas kelalaian mereka.



Nilai-nilai luhur tersebut adalah :



1) Penjagaan Terhadap Nyawa Manusia.



Statistik PDRM menunjukkan bahawa ada 152 kes bunuh yang berlaku dalam suku tahun pertama 2006. Secara purata, pada setiap 14 jam 13 minit berlaku satu kes pembunuhan. Jadi, tidak hairanlah kalau setiap hari kita mendengar dan menyaksikan berita pembunuhan sama ada di kaca televisyen ataupun di akhbar-akhbar. Di dalam Islam, Allah benar-benar menjaga nyawa manusia dari sebarang pembunuhan tanpa hak. Terdapat banyak nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadis dalam perkara ini. Jika terjadi
pembunuhan tanpa hak, maka pelakunya wajib dihukum mengikut hukum Islam, sama ada diqisas, diyat atau diampunkan (oleh waris si mati).



Allah berfirman,



“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas.....” (Surah Al-Baqarah (2) :178 ).



“Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah (2) : 179 ).



Perlaksanaan hukum qisas adalah untuk memastikan nyawa manusia lain terjaga kerana hakikatnya jika orang yang berakal mengetahui bahawa apabila ia membunuh, ia akan dibunuh, maka ia tidak akan melakukan pembunuhan. Tidak ada perbezaan di antara kewajipan solat dan kewajipan qisas dan tidak ada alasan apa pun yang membolehkan pemerintah untuk tidak menerapkan hukum qisas ini. Bagi pemerintah yang memilih-milih untuk menerapkan hukum-hukum Allah sesuka hatinya, maka mereka telah menderhaka kepada Allah dan berdosa besar.



2) Penjagaan Terhadap Harta Individu:



Ideologi Islam menjelaskan bahawa harta adalah suatu yang perlu dijaga. Pemilikan individu dalam Islam adalah suatu yang hak, malah digalakkan oleh syara’, selagi ia diperolehi dengan cara yang halal. Ini berbeda dengan Ideologi Komunis yang memandang pemilikan individu sebagai satu kesalahan dan menyebabkan manusia menjadi jahat. Manakala Ideologi Kapitalis pula memandang individu ‘bebas memiliki’ apa sahaja tanpa menghiraukan halal dan haram. Contohnya petroleum adalah hak milik umum yang wajib diagihkan kepada semua warganegara, tetapi di dalam sistem Kapitalis ia dimiliki oleh syarikat-syarikat tertentu ataupun oleh pemerintah. Rasuah, penipuan dan penyelewengan sering berlaku, termasuk oleh mereka yang memegang kekuasaan, semata-mata untuk mendapatkan kekayaan, tanpa memperdulikan halal dan haram. Inilah Ideologi Kapitalis yang mendarah daging di dalam tubuh umat Islam, hidup untuk mencari kekayaan, bukan keredhaan. Kehidupan dunia diutamakan, Islam
diketepikan. Adalah satu perkara yang biasa di dalam sistem Kapitalis bahawa kekayaan hanya bertompok kepada mereka yang memiliki modal (capital). Sesuai dengan budaya hedonisme yang mereka miliki, Kapitalis memandang bahawa matlamat hidup adalah untuk mencari sebanyak mungkin kekayaan kerana kekayaan dianggap sebagai alat untuk menjamin kebahagiaan. Ini menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kekayaan dan kemewahan. Statistik embuktikan
fenomena ini yang mana di dalam tiga bulan pertama tahun ini, PDRM mencatatkan 36,960 kes jenayah harta dan ini merupakan kadar jenayah tertinggi iaitu 65.9% dari
keseluruhan Indeks Jenayah. Pencerobohan terhadap harta milik orang lain berlaku secara purata setiap 3 minit 30 saat.



Islam menjaga dan mengiktiraf hak individu (yang diperolehi secara sah). Seseorang yang mati kerana mempertahankan hartanya dari dirampas oleh orang lain diberi status syahid oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kepada perampas harta benda orang, Allah mengenakan had potong tangan (mandatori) sebagai balasan di atas kejahatan yang mereka lakukan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,



“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Maidah (5) : 38 )



Ayat di atas bukan sekadar untuk dibaca, ia adalah perintah Allah kepada sang pemimpin untuk menerapkan hukumNya. Potong tangan adalah salah satu dari
hududullah. Hukum ini wajib diterapkan. Hukum Allah bukanlah perkara remeh yang boleh dipermain-mainkan, apatah lagi jika ditukar dengan hukum kufur peninggalan
British. Cukuplah kita menyaksikan kegagalan undang-undang ciptaan manusia yang ada pada hari ini. Yakinlah wahai kaum Muslimin bahawa hukuman potong tangan
bagi pencuri, jika dilaksanakan pasti akan menjadi pembendung utama untuk jenayah harta ini.



3) Penjagaan Terhadap Akal (Arak dan Unsur-unsur yang Memabukkan):



Masyarakat yang luhur adalah sebuah masyarakat yang mana sifat dan perbuatannya adalah lebih mulia dari binatang. Allah Subhanahu wa Ta’ala menganugerahkan akal untuk membezakan manusia dari haiwan. Akal mesti dijaga agar sentiasa berada di dalam keadaan ‘sihat’ bagi memastikan manusia tidak keluar dari landasan yang Allah telah tetapkan. Sebarang tindakan yang merosakkan akal akan menyebabkan pelakunya bertindak di luar batas yang Islam telah gariskan dan ini merupakan satu pencerobohan terhadap hukum syara’. Dewasa ini, berita tentang penyalahgunaan dadah dan minum arak di kalangan masyarakat amat menyedihkan kita, terutamanya yang melibatkan kaum Muslimin. Dalam konteks memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Jabatan Siasatan Jenayah narkotik telah menangkap 43,093 orang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar, memiliki dan menggunakan dadah, berbanding 33,187 orang pada tahun 2004 atau peningkatan sebanyak 29.8%. Seramai 1,894 pengedar telah ditangkap di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori berbanding 1,823 orang yang ditangkap pada tahun 2004 iaitu peningkatan sebanyak 3.9%. Nilai rampasan dadah tradisional pada tahun 2005 melebihi RM8.8 juta manakala dadah sintetik melebihi RM43.7 juta. (PDRM)



Untuk memastikan manusia sentiasa dapat menggunakan akalnya untuk beribadah kepada Allah, yang menjadi tujuan kepada penciptaannya, Islam telah mengharamkan
penggunaan bahan-bahan yang bersifat menutupi akal seperti ganja, heroin, morfin dan seumpamanya. Perlanggaran hukum ini akan menyebabkan pelakunya dikenakan had khamar iaitu sebatan sebanyak 40 kali atau 80 kali (bergantung kepada ijtihad Khalifah).



Penyalahgunaan dan pengedaran dadah pula akan dikenakan hukuman ta’zir yang berat di dalam Islam.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user
Tengku joe



Jumlah posting : 69
Registration date : 21.11.06

PostSubyek: Re: Masyarakat Jahiliyyah di Malaysia   Sun Jul 01, 2007 10:46 pm

4) Penjagaan Terhadap Nasab (Keturunan):



Unit-unit yang membentuk masyarakat dan menyumbangkan anggota kepada masyarakat adalah keluarga. Dari keluargalah bermulanya nasab yang kemudiannya
membesar dan seterusnya membantu kepada terbentuknya sebuah masyarakat. Unit-unit ini dijaga oleh Islam melalui beberapa hukum berkaitan, umpamanya hukum perkahwinan, aurat dan pewarisan/wasiat. Di dalam sebuah masyarakat yang rosak, hal-hal nasab sebegini tidak pernah dijaga. Di Barat sebagai contoh, perzinaan
adalah perkara yang dibenarkan, malahan lebih buruk, homoseksual dan lesbian turut diakui sah. Kehidupan sebegini adalah lebih hina dari binatang kerana binatang,
walaupun tidak ada akal, mereka masih ‘mengenal’ pasangan mereka. Perbuatan keji ini turut berlaku di Malaysia yang tidak lain tidak bukan merupakan manifestasi dari kehidupan liar dan konsep kebebasan yang tidak pernah dijaga oleh sistem yang ada.



Menurut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Azmi Khalid, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan 70,430 anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu dari
1999 hingga 2003. Menjawab soalan Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, beliau memberitahu Dewan Negara bahawa daripada jumlah tersebut, anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang (Soal Jawab Parlimen 45-100068 ).



Jika data ini diproses secara purata tanpa mengira perubahan peratus tahunan, ia menunjukkan secara purata bahawa setiap hari, sejumlah 39 kes pendaftaran anak luar nikah dicatatkan (tanpa mengira agama) dan 17 kes adalah dari kalangan orang Islam. Ini bermakna setiap 37 minit akan berlaku satu kes perzinaan, dan dalam masa 1 jam 25 minit seorang bayi yang tidak berdosa (tidak sah nasab) dilahirkan hasil perzinaan ‘pasangan Muslim’.



Wahai kaum Muslimin! Sampai bilakah kalian sanggup mendengar dan menyaksikan berita-berita seperti ini? Undang-undang yang ada sekarang begitu ‘lunak’ dan langsung tidak menakutkan golongan keji ini. Sesungguhnya mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah dan menerapkan hukum ciptaan akal yang lahir dari proses demokrasi adalah lebih keji kerana merekalah yang telah membiarkan perbuatan terkutuk ini berlaku di bumi Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan hukumanNya ke atas penzina dan ini haram untuk diubah oleh sesiapapun. Bagi mereka yang telah berkahwin (muhsan), maka hukuman rejam akan dikenakan dan yang belum kahwin (ghairu muhsan), maka 100 kali sebatan akan menjadi penghapus dosa mereka.
Penguatkuasaan hukum sebeginilah yang pasti akan dapat menyelamatkan jalur keturunan dan menjamin kesejahteraan rumah tangga, seterusnya masyarakat.



5) Penjagaan Terhadap Agama:



Kita semua meyakini bahawa satu-satunya aqidah yang benar adalah aqidah Islam. Oleh itu, tidak diperbolehkan bagi manusia untuk menganut aqidah lain selain dari aqidah ini. Islam adalah satu-satunya aqidah yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sesiapa sahaja, setelah menganut aqidah ini, berpaling darinya, maka Allah tidak akan lagi memberikan kehidupan baginya. Sikap berpaling tadah dari Islam, jika
tidak di atasi, lambat laun akan merosakkan institusi masyarakat itu sendiri. Tambahan lagi, ia akan memunculkan sifat kebiadaban si murtad dan juga orang-orang kafir untuk mencaci dan menghina Islam. Lihat sahaja kes-kes murtad yang berlaku di Malaysia seperti kes Ayah Pin dan Lina Joy; masyarakat menjadi begitu berani mempersendakan agama Islam kerana sistem undang-undang ciptaan manusia yang ada sekarang langsung tidak menjaga aqidah umat Islam. Walhal Allah Subhanahu wa Ta’ala menjaga kebenaran dan kesucian DeenNya dengan memerintahkan kepada pemimpin agar membunuh manusia durjana ini.



Rasulullah Sallallahu ‘alahi wa Sallam bersabda,



“Barang siapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia.” (Riwayat Jemaah kecuali Muslim).



Selagi hukum bunuh tidak diterapkan ke atas si murtad, selagi itulah kita akan menyaksikan kes-kes murtad ini terus muncul. Dan selagi itu jugalah kita akan menyaksikan pemimpin-pemimpin kita dibaluti dengan dosa-dosa yang tak terhingga besarnya kerana telah merubah hukum Allah dengan tangan-tangan mereka, seterusnya menyebabkan kekufuran berpesta di muka bumi.



6) Penjagaan Terhadap Kehormatan Anggota Masyarakat:



Kehormatan setiap manusia dijaga oleh Islam di mana Islam melarang umatnya melakukan aktiviti mencela, mengutuk atau mengumpat orang lain. Kehormatan ini jika hanya dijadikan arahan dan perintah sahaja tanpa ada mekanisma untuk memastikan agar ianya dilaksanakan maka ia akan hanya menjadi panduan kepada orang yang patuh sahaja. Sesungguhnya Islam datang lengkap dengan mekanisma perlaksanaan yang jitu dalam setiap masalah. Dalam hal ini, Islam menetapkan hukum untuk orang yang menuduh seseorang berzina, iaitu disebat sebanyak 80 kali. Sedangkan ta’zir pula akan dikenakan untuk perbuatan seperti mencela, memfitnah, menghina dan yang seumpamanya.



Firman Allah di dalam Al-Qur’an,



“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah An-Nur (24) :4 )



7) Penjagaan Terhadap Keamanan Masyarakat:



Masyarakat mendambakan keamanan dan suasana harmoni dari ancaman fizikal yang mengganggu gugat kehidupan mereka. Kegagalan sistem yang ada di dalam membenteras jenayah ini dapat dilihat dari statistik PDRM yang menunjukkan bahawa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2006 sahaja, terdapat 35 kes samun berkawan menggunakan senjata api, 662 kes samun berkawan tanpa senjata api, 85 kes samun bersenjata api, 4,554 kes samun tanpa senjata api, 436 kes pemerasan dan 1,615 kes ugutan jenayah. Kesemuanya berjumlah sebanyak 7,387 kes (tidak termasuk rogol 586 kes) yang mengganggu ketenteraman masyarakat. Ini bermakna setiap 16 minit berlaku satu kes penggunaan kekerasan yang mengancam masyarakat.



Inilah realiti yang terpampang di depan mata. Kes ragut sudah menjadi fenomena biasa, ada kalanya hingga menyebabkan kematian. Bagi mereka yang mempunyai anak perempuan pula, ketakutan menyelubungi hidup dengan berhadapan kisah menyayat hati kanak-kanak perempuan dirogol dengan kejam yang tak berkesudahan. Para pemimpin pula meletakkan kesalahan kepada keluarga dan masyarakat.



Demi Allah! Kamu wahai para pemimpin, akan disoal oleh Allah di akhirat nanti atas setiap penderitaan yang dialami oleh rakyatmu, yang sepatutnya kamu pelihara. Demi Allah! Kaki kamu tidak akan dapat melangkah sedikitpun di padang mahsyar nanti sehingga Allah menyelesaikan urusanNya ke atas kamu. Demi Allah! Allah sekali-kali tidak akan melepaskan kamu dengan setiap dosa yang kamu kerjakan. Wahai kaum Muslimin! Islam telah meletakkan hukuman yang cukup keras ke atas pengacau keamanan ini. Mereka yang dikategorikan sebagai Qat’u-Thariq ini (lanun, perompak dan sebagainya.) akan dihukum sesuai dengan firman Allah,



“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya), yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar.” (Surah Al-Maidah (5) : 33)



8 ) Penjagaan Terhadap Keutuhan Negara:



Negara merupakan satu institusi penting dalam masyarakat Islam di mana kewujudan negara itu sendiri merupakan thariqah (method) untuk melaksanakan hukum syara’ di dalam masyarakat. Islam datang menjaga keharmonian umatnya dan mempersatukan mereka dalam satu negara, Daulah Khilafah. Banyak nas yang melarang umat Islam membelot atau menentang Negara. Islam juga mengharamkan umatnya berpecah dan mewujudkan negara secara sendiri-sendiri sebagaimana yang berlaku sekarang. Dalam
menjaga keutuhan Negara, Islam meletakkan bahawa tindakan berpaling tadah dari Khalifah yang sah boleh diperangi dengan kekuatan senjata.



Allah berfirman,



“Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Hujurat ( 49 ) : 9 )



Keutuhan umat ini telah terburai dengan berpecahnya negara-negara umat Islam kepada lebih 50 buah negara. Jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924 telah
meleraikan perpaduan dan keutuhan umat Islam satu dunia. Tiada lagi sang pembela yang dapat melindungi dan menjaga kesatuan negara dan umat Islam. Pemimpin yang ada sekarang sebaliknya hanya menjaga kepentingan negara masing-masing di atas asas assabiyyah dan wathaniyyah. Oleh sebab itulah kita menyaksikan umat Islam yang berjumlah 1.4 bilion ternyata hanya mampu menjadi penonton kepada kekejaman dan kerakusan tentera Israel yang penduduknya hanya berjumlah 6.3 juta orang. Inilah natijah dari kebaculan para pemimpin kaum Muslimin yang di dalam benak pemikiran mereka penuh dengan bisikan dan hasutan syaitan. Hanya Allah jualah yang Maha Membalas dosa-dosa mereka yang membiarkan darah umat Islam tumpah ke bumi tanpa sebarang pembelaan.



Islam Sebagai Rahmat Bagi Sekalian Alam



Wahai kaum Muslimin! Diutusnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sebagai rahmat bagi sekelian alam. Cahaya Allah bersinar menerangi dunia apabila hukum Allah diterapkan. Rahmat Allah tersebar ke seluruh penjuru alam setelah Islam memerintah dunia. Allah Azza wa Jalla berfirman,

“Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra’ (17) : 82 ).



Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani berkomentar terdapat nas yang menyatakan bahawa pengutusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah rahmat untuk sekalian alam, dan ada nas yang menyatakan bahawa Al-Quran adalah penawar dan rahmat, yang
sebenarnya memberikan pengertian bahawa Islam adalah rahmat kepada hamba-hamba Allah. Cuma perlu diingat bahawa rahmat syariat Islam untuk sekelian alam adalah natijah dari pelaksanaannya, bukannya menjadi penyebab bagi hukum ini (Shaksyiah Islamiah hanya 3, masa 359 ).



Saat ini, suatu yang pasti adalah hukum-hukum di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah tidak diterapkan oleh mana-mana negara pun. Oleh itu, bagaimana mungkin rahmat Allah akan tercurah ke seluruh alam jika sistem yang memerintah dunia adalah Sistem Sekular ciptaan manusia, malah berasal dari Barat. Yang tragisnya, terdapat pemerintah sekular yang mengatas namakan Maqasid Syariah, lalu menghalalkan tindakan mereka di dalam menerapkan sistem kufur ini (kononnya sistem secular yang mereka ambil sesuai dengan Islam). Maqasid Syariah juga digunakan untuk menghalalkan idea-idea kufur yang diterapkan di dalam negara seperti kebebasan beragama, bertingkah-laku, berekonomi dan bersuara, kerana dikatakan tidak bertentangan dengan Islam. Inilah sistem kufur Jahiliyyah yang diterapkan di negara-negara umat Islam pada hari ini, termasuklah negara kita ini!



Wahai kaum Muslimin! Mengembalikan semula hukum Islam adalah kewajipan kalian semua. Menegakkan semula Khilafah adalah juga merupakan kewajipan ke atas kalian
semua. Selagi kalian masih terbelenggu dengan kehidupan Jahiliyyah, selagi itulah cahaya Allah tidak akan sampai kepada kalian. Selama mana kalian tidak berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini, selama itulah bumi ini akan melaknat kalian di atas dosa-dosa yang kalian lakukan. Bumi yang kalian pijak inilah yang kelak akan menjadi saksi di atas segala kesalahan, kezaliman dan dosa kalian yang membiarkan manusia melakukan kerosakan di atasnya.



Saudaraku, kalian adalah
orang-orang yang dianugerahkan oleh Allah dengan akal dan kekuatan. Bangkit dan berjuanglah demi untuk menyelamatkan diri kalian dari api neraka. Kehidupan dunia ini hanyalah sementara, sebagai tempat persinggahan untuk kita tunduk dan patuh kepada
perintahNya, di dalam perjalanan kita mencari kebahagiaan di alam abadi. Justeru, bersama-samalah kita bergerak untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan
mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alahi wa Sallam iaitu dengan mendirikan Daulah Islamiyyah, sebuah pemerintahan yang diredhai oleh Allah, yang dengannya, akan kembalilah rahmat Allah ke alam ini dan seterusnya menyelamatkan kalian dari azabNya di alam yang akan datang.



Wallahu a’lam.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user
 
Masyarakat Jahiliyyah di Malaysia
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
Bicara MyKhilafah :: Siasah dan Khilafah-
Navigasi: